LAWAS: Ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) diminta agar terus memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada Yang di-Pertua Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Premier Sarawak yang juga Timbalan Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, sokongan itu juga merupakan pendirian beliau.
“Kita harus memberi sokongan sepenuhnya kepada kepimpinan tertinggi kita yang juga Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan inilah pendirian saya,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Induk Parti PBB Cawangan Bukit Sari di Hotel Seri Malaysia di sini, malam tadi.
Awang Tengah berkata, perasaan cemburu pihak tertentu untuk menghancurkan Parti PBB tidak akan kesampaian kerana budaya PBB adalah kekal bekerjasama dan tidak mengamalkan budaya berpuak-puak dan saling menjatuhkan.
“Ia bukanlah budaya dalam parti PBB dan juga bukanlah yang menjadi pegangan saya…perkara ini tidak ada dalam kamus saya,” katanya.
Sehubungan itu, katanya kemungkinan juga berita yang cubaan mengambarkan seolah-olah ada keretakan telah ditimbulkan kerana perasaan cemburu sesetengah pihak terhadap kejayaan Parti PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinan Yang di-Pertua Parti PBB serta mahu ahli PBB berhati-hati.
Hadir sama Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Jawa merangkap Timbalan Pengerusi Parti PBB Cawangan Bukit Sari Lawas.
