Pesta Agro Spaoh sasarkan kutipan RM160,000 hasil jualan

SPAOH: Pesta Agro Spaoh 2025 mensasarkan kira-kira 10,000 pengunjung dengan anggaran jualan produk pertanian mencecah RM160,000 sepanjang tiga hari berlangsung.

Pesta dijadual berlangsung mulai 25 hingga 27 Julai ini.

Pegawai Jabatan Pertanian Bahagian Betong, Ahmad Arisa Kachon berkata, penganjuran ini adalah inisiatif memperkukuhkan ekosistem agrokomoditi tempatan serta memperkasakan pengusaha pertanian di sekitar Bahagian Betong.

Katanya, acara ini diserikan dengan pelaksanaan Program Jualan Rahmah Madani dan Program Jualan Agro Madani, selaras dengan dasar kerajaan untuk menstabilkan harga barangan dan memastikan keterjaminan bekalan makanan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan mesyuarat mengenai penganjuran program itu bersama Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di sini, semalam.

Sehubungan itu, orang ramai dipelawa memeriahkan festival ini untuk menyokong hasil produk pertanian tempatan.