22 Julai simbol penting jati diri rakyat Sarawak – TYT

KUCHING: Yang di-Pertua Negeri, Tun Pehin Sri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar memuji kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang memberi perhatian kepada pertumbuhan ekonomi digital, tenaga boleh diperbaharui termasuk hidrogen hijau, bioekonomi dan pelaburan dalam pendidikan dan inovasi.

Beliau percaya kesungguhan Premier Sarawak dalam membangunkan sektor berkenaan akan merealisasikan impian Sarawak dalam menjayakan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030.

“Rakyat Sarawak harus bersatu padu dan berganding bahu dengan kerajaan serta sektor swasta demi membina masa depan negeri yang lebih gemilang,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Hari Sarawak 2025 pada 22 Julai ini.

Beliau menyifatkan tarikh 22 Julai 1963 sebagai simbol penting jati diri rakyat Sarawak.

Pada hari tersebut, katanya, pihak pentadbiran Koloni British bersetuju untuk menubuhkan ‘Kerajaan Sendiri’ di Sarawak, dan melantik Stephen Kalong Ningkan (Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan) sebagai Ketua Menteri Sarawak dan menubuhkan kabinetnya sendiri untuk mengambil alih pentadbiran daripada tangan British.

Peristiwa ini merupakan langkah awal penting sebagai persediaan Sarawak untuk menyertai pembentukan negara Malaysia bersama Sabah, Singapura dan Tanah Melayu, tegas Yang di-Pertua Negeri.

“Penyerahan kuasa pemerintahan ini berlaku sebelum Sarawak secara rasmi menjadi sebahagian daripada Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.

“Peristiwa ini menjadi titik tolak kepada pembentukan identiti Sarawak sebagai negeri berdaulat dalam Persekutuan Malaysia. Kita mengenang jasa tokoh-tokoh awal yang membuka jalan seperti Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan dan Dato Sri Tawi Sli yang telah memainkan peranan penting dalam membentuk pentadbiran sendiri,” katanya.

Tun Dr Wan Junaidi turut merakamkan penghargaan kepada mantan Ketua Menteri terdahulu seperti Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub, Allahyarham Tun Pehin Sri Dr. Abdul Taib Mahmud, dan Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atas sumbangan besar mereka dalam pembangunan Sarawak.

Menurut beliau, ekonomi Sarawak telah menunjukkan daya tahan yang kukuh pasca pandemik, dan kini sedang bersedia untuk melonjak ke peringkat global dalam bidang tenaga hijau dan digital.

“Kemajuan ini tidak akan berlaku tanpa kerjasama erat antara kerajaan, rakyat dan sektor swasta. Kerajaan menyediakan dasar dan infrastruktur, sektor swasta menjadi pemacu pelaburan, dan rakyat sebagai penyokong aspirasi pembangunan,” ujar beliau.

Beliau menggesa agar semangat perpaduan dan keharmonian terus dipelihara, kerana ia menjadi tunjang kepada kestabilan dan kemajuan negeri.

“Semoga Hari Sarawak 2025 ini menyemarakkan lagi rasa cinta kepada negeri, dan menjadi dorongan untuk kita terus mara dengan yakin dan bersatu hati,” katanya.