KUCHING: Tiada kawasan di negeri ini yang mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dalam kategori tidak sihat setakat ini.
Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Sarawak dalam kenyataan hari ini berkata, sejak 19 Julai hingga 8 pagi, 21 Julai, tiga kawasan mencatatkan bacaan IPU pada kategori baik, manakala 15 kawasan berada dalam kategori sederhana.
Sementara itu, menurut laporan daripada Asean Specialised Meteorological Centre (ASMC) bagi tempoh 14 hingga 20 Julai 2025, hanya empat titik panas dikesan di Sarawak.
NREB berkata, dalam tempoh yang sama, sejumlah 114 titik panas telah dikesan di Kalimantan, Indonesia, dengan 93 daripadanya dikesan dalam tempoh dua hari lalu, iaitu pada 19 dan 20 Julai 2025.
Pelbagai langkah diambil oleh NREB termasuk mengaktifkan bilik operasi jerebu, rondaan lapangan, memberhentikan pengeluaran permit pembakaran terkawal serta notis larangan pembakaran terbuka kepada semua pemaju projek.
Dalam pada itu, NREB memberi peringatan kepada orang ramai supaya tidak melakukan aktiviti pembakaran terbuka yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran.