MIRI: Miri bakal berubah wajah dengan bermulanya projek pembinaan Jambatan Marina sekali gus menjadi hadiah bermakna sempena sambutan Hari Sarawak 2025.
Jambatan cable stayed sepanjang 650 meter (m) itu membabitkan kos RM450 juta dan akan memendekkan jarak perjalanan antara Marina Miri dan Pulau Melayu kepada hanya dua (km) berbanding 12 km sebelum ini.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, jambatan ini akan menyuraikan trafik, melengkapkan jaringan Jalan Pesisir, Jalan Miri-Pujut dan Pan Borneo serta menjadi pemangkin kepada pembangunan Greater Miri.
“Ia akan merapatkan jurang ekonomi antara bandar dengan kawasan seberang sungai dan meningkatkan nilai hartanah serta akses ke bandaraya,” katanya pada Majlis Pecah Tanah yang disempurnakan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Tambah beliau, pembinaan jambatan itu akan meningkatkan nilai hartanah di kawasan itu selain membuka akses baharu menuju Bandaraya Miri dan mengurangkan kesesakan lalu lintas.
Sekali gus berpotensi menjadi tarikan pelancongan kerana lokasinya berhampiran pantai, Piasau Nature Reserve dan Miri Golf Club, katanya.