SERIAN: Rakyat Sarawak yang kreatif dipelawa menyumbang idea reka bentuk konsep dan warna untuk pesawat AirBorneo.
Menurut Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, susulan penubuhan syarikat penerbangan itu, 12 Februari lalu, rakyat Sarawak khasnya warganet sering berkongsi di media sosial idea reka bentuk serta warna pesawat berkenaan.
Malah ada yang turut menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mereka bentuk konsep dan warna pesawat AirBorneo, sebagai inisiatif menyumbang sesuatu kepada syarikat penerbangan milik Sarawak itu.
“Dalam sosial media, adanya warna merah, adanya hitam, adanya warna bercampur. Kacak juak (cantik juga) dalam sosial media.
“Saya mintak kali buat satu pertandingan untuk mendapatkan warna yang sesuai supaya rakyat dapat beri pandangan warna ‘belon’ (kapalterbang kita kelak,” katanya pada Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Serian di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Abang Johari sekali lagi memberi jaminan bahawa AirBorneo akan memberi perkhidmatan tambang murah terutamanya kepada pelajar yang menuntut di luar Sarawak.
“Semasa Lan Berambeh dengan anak Sarawak kita yang belajar jauh minta tolong mengenai harga tiket yang mahal dan ada penerbangan telah penuh ditempah.
“Yalah terpaksa saya cari jalan untuk membantu di samping membawa pelawat datang melihat Serian sebagai New Zealand, maka mahu tak mahu terpaksa kita mesti ada kapal terbang sendiri,” jelasnya.
Katanya lagi, model perniagaan akan diumumkan kemudian untuk mengelak pesaing-pesaing dalam industri mengetahuinya terlebih dahulu.
