SKAS akan diterus – Abang Johari

SERIAN: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) akan terus diagihkan kepada golongan sasar selagi masih diperlukan.

Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang mengesahkan perkara itu, berkata kerajaan memahami beban ditanggung golongan sasar berikutan kenaikan kos hidup.

“Sekarang ada 800,000 dalam kategori yang harus mendapat bantuan dan bantuan itu membabitkan kos RM460 juta.

“Kita sebagai pemimpin cari RM460 juta dan InshaAllah akan terus diberi kepada masyarakat sasaran,” katanya pada Majlis Pelancaran SKAS Peringkat Sarawak di Pusat Konvensyen Serian di sini, hari ini.

Katanya, biarpun kaedah penyaluran bantuan secara digital mempunyai masalah, usaha dilakukan dari akar umbi hingga peringkat tertinggi dilakukan bagi memastikan masalah itu diatasi dengan baik.

Ini ditambah dengan pelbagai inisiatif dalam meningkatkan pendapatan Sarawak untuk memantapkan ekonomi di wilayah ini bagi memastikan SKAS akan terus dilaksanakan.

Sementara itu, dalam sidang media, Abang Johari memberitahu, beliau telah melihat beberapa penerima menggunakan bantuan SKAS dengan mudah menggunakan transaksi digital S Pay Global ketika ‘walkabout’ di Pasar Besar Serian selepas majlis pelancaran.

Jelasnya, penggunaan bantuan baucar digital diterima baik oleh rakyat.

“Saya berkesempatan pergi kawasan Pasar Besar Serian dan melihat masyarakat yamg menerima bantuan dapat membeli menggunakan digital dengan mudah,” katanya.

Hadir sama, Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Dato Sri Roland Sagah Wee Inn, Menteri Di Jabatan Premier Sarawak Dato Sri John Sikie Tayai, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Timbalan-Timbalan Menteri Sarawak, Ketua-ketua Jabatan serta dif-dif kenamaan.