Kabinet Sarawak pimpinan Premier banyak buat keputusan bijak

KUCHING: Kebijaksanaan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam melantik dan memimpin kabinet Sarawak tidak perlu diragui.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol berkata, ini jelas dalam perlembagaan Sarawak di bawah perkara 6(3)(b) bahawa perlantikan dalam kabinet Sarawak adalah perogative Premier Sarawak.

“Kebijaksanaan Premier dalam membuat keputusan sepatutnya tidak perlu diragui ketika Sarawak sedang ditadbir dan diurus dengan begitu baik,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abdullah berkata, barisan kabinet yang diketuai Premier banyak membuat keputusan bijak yang meletak kedudukan ekonomi Sarawak selesa dan banyak sumbangan kebajikan masyarakat diperkenalkan.

Katanya, kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang progresif juga berjaya meletak kedudukan Sarawak sebagai wilayah paling membangun, kestabilan politik dan perpaduan kaum terbaik di Malaysia sejak Merdeka.

“Sejak akhir-akhir ini banyak serangan terhadap Sarawak yang berniat jahat dan bernada irihari semata-mata untuk melemahkan kekuatan dan keberanian kepimpinan GPS Sarawak,”katanya.

Katanya, mereka yang memainkan isu ini adalah mereka yang ingin memecahbelah keharmonian Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan cubaan untuk meretak keutuhan gabungan GPS.

Beliau juga menegaskan Perhimpunan Agung Ke-16 Parti PBB baru-baru ini adalah urusan peribadi keluarga PBB yang semakin bersatu dan kuat.

“Jika ada yang mempersoalkan kedudukan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dalam kabinet hanya kerana dia tidak dipilih sebagai Naib Yang di-Pertua Parti PBB, maka kedudukan saya juga patut dipersoalkan,” jelasnya.

Abdullah berkata, ini kerana dalam pemilihan Majlis Kerja Tertinggi (MKT), beliau berada di kedudukan nombor enam dan ada empat orang yg dipilih di atas beliau dengan jumlah undi yang lebih baik.

“Kami masih lagi wakil rakyat yang dipilih melalui pilihan raya, bagaimana pula kedudukan lima Senator yang menjadi menteri dalam kabinet persekutuan yg bukan wakil rakyat,” katanya.

Menurutnya seperti dipamerkan dalam perhimpunan Parti PBB kali ini, mereka dalam PBB semakin berdiri teguh di belakang pemimpin mereka yang bijak mengurus ekonomi dan berani mempertahan hak dan kepentingan Sarawak.

Tambahnya, majoriti masyarakat Sarawak juga tidak berminat dengan mainan sentimen politik yang cetek tapi mahukan pemimpin yang mampu membawa hasil kerja membangun Sarawak terutama di kawasan pendalaman dan menyalur berbagai bantuan kebajikan masyarakat.