Mahu bekerja, masalah keluarga antara faktor calon gagal duduki SPM di Sarawak

KUALA LUMPUR: Tekanan ekonomi yang memaksa pelajar bekerja, masalah keluarga, isu kesihatan, berpindah tempat tinggal serta pendaftaran ke pusat kemahiran dikenali pasti sebagai faktor utama ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam semua mata pelajaran bagi sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Sarawak

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, berdasarkan analisis kehadiran calon SPM bagi sekolah KPM di Sarawak, jumlah calon yang tidak hadir bagi semua mata pelajaran mencatatkan peningkatan ketara sejak 2020, dengan 630 orang pada tahun tersebut, diikuti 1,091 (2021), 1,441 (2022) dan 1,109 (2023).

Menurutnya, menyedari kepentingan menangani isu ini, KPM telah melaksanakan pelbagai intervensi yang dirangka secara sistematik bagi memastikan murid hadir ke sekolah dan menduduki peperiksaan SPM.

Di peringkat negeri, katanya, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak turut melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu calon SPM di negeri ini.

“Antaranya ialah Program Ziarah Cakna “Lan Ngabas”, iaitu program bersepadu kesedaran pendidikan yang melibatkan murid, ibu bapa, ketua masyarakat serta penglibatan residen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

“Program ini akan dilaksanakan November 2024,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab secara lisan pertanyaan Ahli Parliman Igan Ahmad Johnie Zawawi di Dewan Rakyat sidang Parlimen di sini, hari ini.

Selain itu, katanya lagi, Program Gempur Kehadiran SPM 2024 akan diadakan pada Oktober 2024 di semua daerah di Sarawak sebagai usaha meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan menduduki SPM.

“Program Intervensi Keciciran dan Ziarah Cakna Ala Bahat Anak Asen turut dirancang pada 18 hingga 22 November 2024 sebagai inisiatif khas menangani isu keciciran murid luar bandar.

“Di samping itu, program Outreach ke kawasan pedalaman juga akan dijalankan bagi memastikan murid yang tinggal jauh mendapat akses pendidikan yang sewajarnya. JPN Sarawak turut menganjurkan Karnival Pendidikan bagi memberi kesedaran tentang kepentingan sijil SPM dalam menjamin masa depan yang lebih baik,” ujarnya.

Sebagai langkah tambahan, katanya lagi, KPM menggalakkan murid dalam kalangan keluarga B40 yang tinggal jauh dan menghadapi masalah pengangkutan tinggal di asrama sekolah bagi mengurangkan risiko keciciran.

“Peranan perkhidmatan bimbingan dan kaunseling juga diperkasakan dengan melibatkan 30 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) di Sarawak untuk memberi sokongan psikologi dan motivasi kepada murid yang berisiko tinggi untuk tidak menduduki SPM,” katanya.