KUCHING: Sarawak bakal mengeksport tenaga elektrik ke Filipina dari Miri melalui Sabah menerusi pelaksanaan projek itu yang dijangka bermula tahun hadapan.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, perkara itu diputuskan dalam perbincangannya bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Perdana Menteri meminta kita menghantar tenaga dari Sabah ke selatan Filipina. Ini bermakna kita akan membekalkan tenaga dalam ASEAN dan ini adalah kekuatan kita.
“Segala pelaburan memerlukan tenaga, dan Malaysia, khususnya Sarawak yang memiliki kelebihan dalam aspek ini yang boleh menarik lebih banyak pelaburan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Tahun Baharu Cina Affin Bank di Kuching malam tadi.
Katanya, pelaksanaan projek ini adalah sebahagian daripada inisiatif Projek Grid ASEAN, yang akan merealisasikan visi Sarawak sebagai “Bateri ASEAN” dalam sektor tenaga.
Tenaga elektrik yang akan dieksport dari Miri dihasilkan melalui teknologi Combined Cycle Gas Turbine (CCGT) berkapasiti 500 megawatt oleh Petroleum Sarawak Berhad (Petros) menerusi loji janakuasa yang kini sedang dibina di Lutong.
Sebelum ini, Kerajaan Sarawak telah melabur sebanyak RM2 bilion dalam projek tenaga yang menggabungkan kombinasi hidrogen dan stim menggunakan teknologi syarikat Mitsubishi yang pertama kali digunakan di rantau ini.
Turut hadir Timbalan-Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki, Pengerusi Affin Bank Berhad Dato’ Agil Natt, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Affin Bank Berhad Datuk Wan Razly Abdullah Wan Ali.
