Jambatan hubung ‘West Bank’ ke pusat bandar Sibu dicadang

SIBU: Kawasan ‘West Bank’ dan pusat bandar Sibu akan dihubung menerusi jambatan sepanjang kira-kira 400 meter (m) yang dalam cadangan untuk dibina.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada visi besar pembangunan wilayah ini yang mendapat sokongan padu daripada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri AbangJohari Tun Openg.

Menurut Abang Johari, cadangan pembinaan jambatan ini bukan sesuatu yang mustahil, kerana Kerajaan Sarawak berjaya melaksanakan beberapa jambatan besar yang jauh lebih mencabar, seperti Jambatan Batang Lupar.

Sehubungan itu, beliau mengarahkan Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee serta Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Michael Tiang Ming Tee berganding bahu dan bekerjasama merealisasikan projek ini demi kemajuan dan kesejahteraan rakyat Sibu.

“Jika kita mampu menyiapkan jambatan-jambatan besar seperti Batang Lupar, saya yakin jambatan sepanjang 400 meter ini bukan masalah.

“Jambatan ini akan menghubungkan bukan hanya kawasan Sibu, tetapi juga membuka akses ke kawasan baharu menuju ke Dalat dan Mukah. Jadi, saya mohon dua pemimpin kita (Datuk Dr Annuar Rapaee dan Datuk Michael Tiang Ming Tee) yang mempunyai pengaruh di kawasan Sibu, bekerjasama dalam merealisasikan projek ini, kerana mereka memiliki pengetahuan tentang keperluan dan cabaran tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina SUPP 2025 di sini, malam tadi.

Premier Sarawak menambah, pembinaan jambatan ini akan dilaksanakan dengan penuh komitmen dan perhatian terhadap kualiti, setaraf dengan Jambatan Kemena di Bintulu.

“Saya tegaskan di sini, kita akan melaksanakan apa yang dirancang. Setakat ini, belum ada lagi negeri lain yang mampu membina 16 jambatan, sekali jalan! Ini merupakan bukti komitmen tinggi Kerajaan Sarawak dalam memajukan wilayah ini,” jelasnya.

Terdahulu, Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bawang Assan, Kaunselor Kevin Lau Kor Jie dalam ucapan aluannya mencadangkan projek pembinaan jambatan yang menghubungkan Sibu Westbank ke pusat bandar dipertimbangkan untuk meningkatkan kemudahan pengangkutan.

Majlis itu turut dihadiri Timbalan Premier Sarawak merangkap Presiden SUPP Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Dato Sri Julaihi Narawi, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, Datuk Michael Tiang, Datuk Dr Annuar Rapaee, rakan parti komponen Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta kenamaan lain.