Rembus H2 loji hidrogen pertama nyahkarbon sistem pengangkutan awam

KUCHING: Hab Rembus H2 yang menempatkan Loji Hidrogen Rembus akan menjadi usaha pertama Sarawak menyahkarbon dalam sistem pengangkutan awam, kata Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar, Datuk Dr Hazland Abang Hipni.

Beliau berkata, apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026, loji dan stesen pengisian Hidrogen Rembus itu akan menyokong pengoperasian tiga Sistem Pengangkutan Bandar Kuching (KUTS).

Tiga laluan utama itu ialah Kuching, Samarahan dan Santubong yang dibina secara strategik untuk menghubungkan kawasan kediaman, komersial dan perindustrian yang menggunakan kenderaan tenaga hidrogen, katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata, Loji Hidrogen Rembus akan menjadi katalis menggerakkan Malaysia Sifar Karbon menjelang 2050 dan usaha pertama Sarawak mengubah pengangkutan awam menjadi industri bersih.

“Ini adalah yang pertama dan percaya SEDC Energy akan menjadi penggerak bagi Sarawak dan Malaysia, perjalanan sebenar kita menggunakan hidrogen hanya baharu bermula,” tegas beliau.

Sejurus operasi KUTS berkembang di Kuching, SEDC Energy akan turut membina rangkaian Stesen Multifuel di bawah jenama PETROS sebagai symbol kehadiran minyak dan gas Sarawak dalam perniagaan, katanya.

SEDC Energy merancang stesen minyak ke daerah Sibu, Kanowit, Daro, Matu, Sg. Asap dan Bintulu.