Bandar baharu untuk Sebauh

SEBAUH: Sebuah bandar baharu akan dibangun di pekan Sebauh, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Kemajuan Wilayah, Datuk Sri Dr Stephen Rundi Utom,

Beliau berkata, pembangunan bandar baharu itu dijangka mengubah landskap kawasan itu dengan pelbagai kemudahan moden bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin berkembang.

“Bandar baharu itu akan mengambil kira keperluan asas serta keselamatan daripada risiko banjir,” katanya berucap pada majlis Makan Malam Perpaduan Tahun Baru Cina Sebauh 2025 anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pekan Sebauh di Dewan SJK(C) Chung San, di sini.

“Saya sudah lama menyuarakan keperluan untuk membangunkan rumah kedai dan infrastruktur baharu di Sebauh.

“Kita akan memastikan pembangunan dilakukan secara tersusun dengan bantuan konsultan untuk menentukan lokasi terbaik bagi hospital, premis perniagaan, dan kemudahan lain,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemena memberitahu projek jambatan baharu Sebauh hampir siap, yang bakal menghubungkan pekan lama dengan kawasan bandar baharu.

Infrastruktur ini dijangka memudahkan akses, memperluaskan jaringan ekonomi, dan meningkatkan mobiliti penduduk serta peniaga, tegas beliau.

Menurut Dr Stephen Rundi lagi, dengan mempunyai lebih 30,000 penduduk dan ekonomi berasaskan komoditi kelapa sawit, Sebauh mempunyai potensi untuk berkembang menjadi sebuah bandar baharu yang moden dan tersusun.