KUCHING: Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) meluluskan pelantikan Affin Bank Berhad bagi mengurus inisiatif Endowment Fund Sarawak (EFS) 2.0 bermula 1 Januari 2025.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, pelantikan itu sehingga 31 Disember 2029 atau selama lima tahun.
Sehubungan itu, beliau berharap peralihan dari Bank Islam Malaysia Berhad yang telah bersama pihaknya sejak hari permulaan inisiatif ini pada 2019 kepada Affin Bank Berhad akan berjalan lancar.
Katanya, Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak telah mengeluarkan surat pelantikan bertarikh 27 November 2024 kepada Affin Bank Berhad untuk mengemukakan deraf perjanjian dan SOP kepada KPWK Sarawak selewat-lewatnya pada 9 Disember 2024.
“Kini KPWK Sarawak dan Affin Bank sedang dalam proses untuk menyediakan perjanjian dan satu majlis menandatangani perjanjian bakal dilakukan pada suku tahun pertama 2025,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mempengerusikan Mesyuarat Endowment Fund Sarawak, di sini, hari ini.
Fatimah berkata, semua permohonan EFS masih kekal dibuat di cawangan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Negeri Sarawak dangan fasa pertama permohonan manual bermula 1 Januari 2025 manakala fasa kedua permohonan online bermula suku tahun ketiga 2025.
“JPN akan menghantar borang permohonan kelahiran tahun 2024 kepada Bank Islam manakala bagi permohonan kelahiran 2025 akan diurus oleh Affin Bank,” tambahnya.
Fatimah turut mendedahkan Premier Sarawak meneruskan pelaksanaan insiatif EFS dalam Bajet 2025 dengan memperuntukkan RM15 juta.
“Dari tempoh 1 Januari 2019 hingga 31 Oktober 2024, jumlah keseluruhan kelahiran anak Sarawak berstatus ‘K’ adalah 178,574 manakala jumlah permohonan EFS adalah 132,729 (74%),” katanya.
Fatimah berkata, dalam tempoh itu juga sebanyak 124,762 anak Sarawak telah memiliki akaun EFS dengan jumlah peruntukan sebanyak RM124.7 juta dari Kerajaan Sarawak.
