Projek Jambatan Rambungan disambung semula, sasar siap 30 bulan

KUCHING: Pembinaan Jambatan Rambungan yang dikategori projek sakit akan dipulihkan oleh kontraktor penyelamat, Titanium Project Management.

Mendedahkan perkara itu Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas sambil berkata pelantikan kontraktor itu berkuat kuasa pada 19 November lalu dengan 43 peratus akan disiapkan oleh kontraktor tersebut.

Penyambungan projek ini katanya dijangka siap dalam tempoh 30 bulan lagi iaitu pada 18 Mei 2027 namun dijangka siap lebih awal.

“Kalau diikutkan kontrak yang diberikan ialah 30 bulan, namun mereka mengesyorkan bahawa projek itu mampu disiapkan dalam masa dua tahun, kalau boleh dalam masa 18 bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa lawatan ke tapak projek itu hari ini.

Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak itu turut berkesempatan melawat projek Jambatan Sejingkat yang berharga RM365.7 juta.

Ketika ditemui, Uggah memberitahu projek ini dijangka siap pada Disember 2025 biarpun suku pertama tahun 2026 merupakan anggaran akhir projek tersebut siap.

Jelasnya, projek tersebut kini hanya mempunyai pertukaran reka bentuk menyebabkan sedikit kelewatan terutamanya untuk menyiapkan ‘pylon’ jambatan tersebut.

“Namun kita telah bersetuju (dengan pihak kontraktor) untuk mengatasi masalah yang ada. Kita menyasarkan Disember 2025 akan siap sepenuhnya.

“Saya juga akan turun padang lagi pada Januari 2025 untuk melihat kemajuan fizikal bagi ‘pylon’ tersebut yang difahamkan ada 37 meter lagi untuk dipasang.

“Penghujung Februari, saya akan datang lagi ke sini untuk melihat ‘pylon’ tersebut siap sepenuhnya dan saya akan berdiri di puncak ‘pylon’ tersebut,” jelasnya.

Bersama Uggah ialah Timbalan Menteri Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Ir Aidel Lariwoo.