Agihan SKAS dilaksana tiga peringkat

KAPIT: Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) 2026 mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat diutamakan, khususnya golongan yang memerlukan.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang dan Adat Bumiputera), Datuk Jefferson Jamit Unyat berkata, kerjasama erat antara agensi dan jabatan kerajaan serta pemimpin masyarakat penting bagi memastikan bantuan dan dasar kerajaan dapat disampaikan demi kesejahteraan rakyat.

“Adalah diharapkan bantuan ini dapat diurus dengan lebih baik dan sampai kepada golongan sasar, termasuk mereka yang tinggal di pedalaman,” katanya semasa pelancaran SKAS 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Goram dan Pelagus di sini, semalam.

Tambahnya, inisiatif SKAS juga bertujuan memastikan tiada rakyat tercicir daripada menerima bantuan kerajaan, dengan pelaksanaan sumbangan diagihkan dalam tiga peringkat sepanjang tahun ini.

Mengulas isu politik, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak mudah terpengaruh dengan khabar angin, sebaliknya terus menyokong kepimpinan sedia ada.

Katanya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di bahagian Kapit ketika ini menjalankan tugas dengan baik, dan sokongan berterusan daripada rakyat amat penting bagi memastikan lebih banyak pembangunan dapat dilaksanakan demi kesejahteraan bersama.

Turut hadir ADUN Pelagus, Wilson Nyabong Ijang serta Pegawai Daerah Kapit, Thomas Geoffrey Kandawang.