SIBU: Kerajaan Sarawak menyalurkan bantuan dengan lebih bersasar dan berkesan kepada rakyat melalui penggunaan SPay Global secara menyeluruh di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Datuk Dr Annuar Rapaee berkata, berdasarkan rekod, lebih 90 peratus penerima Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tahun ini mendaftar dengan platform berkenaan.
Beliau berkata, angka itu dijangka terus meningkat sekali gus memperkukuh keupayaan kerajaan menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kepada rakyat secara lebih efisien.
“Melalui penggunaan SPay Global secara menyeluruh di seluruh Sarawak, kerajaan negeri menyalurkan bantuan lain kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Sayeed Azmee Wan Junaidi pada Majlis Pelancaran SKAS 2026 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nangka itu berkata, SKAS merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak yang diperkenalkan tahun lalu sebagai langkah intervensi langsung dalam menangani peningkatan kos sara hidup.
Menurutnya, inisiatif itu amat penting bagi membantu rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah yang terkesan akibat kenaikan harga barangan.
“Tahun ini amat bermakna kerana SKAS memasuki tahun kedua pelaksanaannya. Ia bukan sekadar kesinambungan program, tetapi membuktikan komitmen berterusan Kerajaan Sarawak dalam memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Katanya, bantuan SKAS akan disalurkan dalam tiga peringkat iaitu pada 10 Mac, Mei dan November.
Sehubungan itu, beliau menegaskan agar bantuan berkenaan dimanfaatkan sepenuhnya selaras dengan matlamat asal pelaksanaannya.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Mohammed Abdullah Izkandar Roseley dan Pengerusi Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS), Sempurai Petrus Ngelai.
