KUCHING: Penganjuran Mulu Eco Challenge 2026 membuktikan komitmen kukuh Kerajaan Sarawak memperkasa sektor pelancongan berasaskan alam semula jadi dan pengembaraan sebagai pemacu utama ekonomi negeri.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, acara yang memasuki edisi ketiga ini adalah sebahagian daripada inisiatif strategik jangka panjang untuk mempromosikan Sarawak sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia.
“Menekankan elemen kelestarian, tanggungjawab dan nilai tinggi dan keunikan acara ini terserlah melalui lokasi penganjurannya di Taman Negara Gunung Mulu.
“Mulu juga terkenal sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dengan keindahan landskap semula jadi serta kepelbagaian biodiversiti,” katanya dalam sidang media penganjuran “Mulu Eco Challange 2026” di Baitulmakmur II di sini hari ini.
Tambah beliau, sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030, penganjuran acara tersebut turut menyokong aspirasi negeri dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan, memperkukuh pemeliharaan alam sekitar serta membangunkan produk pelancongan berimpak tinggi.
Justeru, peranan Lembaga Pelancongan Sarawak turut diiktiraf dalam mempromosikan acara ini ke peringkat domestik dan antarabangsa, sekali gus meningkatkan keterlihatan Sarawak di mata dunia.
Acara Mulu Eco Challange 2026 dianjurkan Grit Event Management dan turut disokong AirBorneo sebagai syarikat penerbangan rasmi serta Mulu Marriott Resort & Spa sebagai lokasi rasmi.
Turut hadir, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek) merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala dan Pegawai Eksekutif Grit Event Management Awang Saifeluddin Awangku Karim.
