SKAS boleh diguna di 86 pasar raya, peruncit di Betong

SPAOH: Seramai 50,284 penerima yang layak di Bahagian Betong akan menerima manfaat menerusi Sumbangan Keperluan Asas Sarawak (SKAS) tahun ini.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pelaksanaan SKAS merupakan inisiatif penting kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah.

Menurut beliau, bantuan tersebut disalurkan dalam bentuk baucar digital melalui aplikasi S Pay Global yang boleh digunakan untuk membeli barangan keperluan asas di pasar raya serta premis peruncitan berdaftar.

Beliau menjelaskan, daripada keseluruhan 857,814 penerima di seluruh Sarawak, Bahagian Betong mencatatkan 50,284 penerima, mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menjaga kebajikan rakyat.

Sehubungan itu, beliau menggesa individu yang merasakan mereka layak tetapi belum menerima bantuan supaya segera tampil mendapatkan penjelasan.

Katanya, mereka boleh menghubungi Pejabat Residen Betong atau Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian (PKMB) Betong dengan mengemukakan dokumen berkaitan penilaian lanjut.

Uggah berkata demikian ketika melancarkan program SKAS peringkat Bahagian Betong yang berlangsung di sini, hari ini.

Tambah beliau, Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM640 juta bagi pelaksanaan SKAS tahun 2026, meningkat berbanding RM480.2 juta pada tahun pertama program tersebut.

Katanya, bantuan akan disalurkan secara berperingkat pada Mac, Mei dan November bagi memastikan sokongan kewangan dapat dinikmati rakyat sepanjang tahun melalui penyertaan 86 premis peruncitan berdaftar di kawasan tersebut.