Aksi santai Abang Johari pandu jet ski curi perhatian penonton Regata Sarawak

KUCHING: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg mencuri tumpuan ribuan pengunjung di Tebingan Sungai Kuching apabila meluangkan masa bersantai dengan memandu sendiri jet ski di Sungai Sarawak pada hari terakhir Regata Sarawak 2025.

Aksi santai Premier mendapat tepukan gemuruh daripada penonton yang memenuhi sepanjang Tebingan Sungai Kuching yang hadir bagi menyaksikan perlumbaan perahu bidar untuk mencari Raja Sungai baharu.

Suasana bertambah meriah apabila Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, dan Kebawah Duli Paduka Baginda Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Almarhum Sultan Iskandar Al-Haj turut berkenan mencemar duli menyaksikan acara berkenaan serta memberikan tepukan ketika Premier Sarawak melalui kawasan pentas tetamu kehormat.

Turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang turut menyaksikan perlumbaan sengit bagi merebut gelaran Raja Sungai.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Profesor Dr Sim Kui Hian, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar, Menteri-Menteri Sarawak dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki turut hadir.

Kehadiran Premier dalam suasana santai mencerminkan keakraban pemimpin nombor satu Sarawak itu bersama komuniti selain komitmen beliau dalam menyokong penganjuran program rakyat. – UKAS