Tak perlu lagi gores, sistem tempat letak kereta pintar dilancar

KUCHING: Sistem Tempat Letak Kereta Pintar oleh Pay and Go Sdn Bhd dilancarkan hari ini, menandakan bermulanya sistem digital dalam pengurusan tempat letak kereta di kawasan seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU).

Pelancaran dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi sempena Program Kuching Car Free Morning (KCFM) 2025 di Padang Merdeka, Kuching.

Pelantikan Pay and Go Sdn Bhd sebagai Pemegang Konsesi Sistem Tempat Letak Kereta Pintar Bandaraya Kuching diumumkan oleh Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (MPHLG), menggantikan konsesi terdahulu di bawah Kuching City Parking System Sdn Bhd (KCPS) yang tamat pada 31 Oktober lalu.

Pelaksanaan dan peralihan sistem baharu ini bermula pada 1 November 2025.

Menurut Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU), Dato Hilmy Othman, usaha ini penting ke arah meningkatkan mutu perkhidmatan pengurusan tempat letak kereta di bandar raya ini, selain menyokong aspirasi kerajaan negeri dalam memperluaskan penggunaan teknologi digital dalam penyampaian perkhidmatan awam.

“DBKU yakin sistem ini akan memberi kemudahan kepada pengguna melalui kaedah pembayaran tanpa tunai dan tanpa sentuhan (cashless & contactless), di samping memperkukuh aspek penguatkuasaan serta memastikan pengurusan hasil yang lebih telus dan efisien,” katanya.

Ditemui media selepas majlis perasmian tersebut, beliau berkata, dengan pelaksanaan sistem ini, DBKU terus memperkukuh komitmennya ke arah menjadikan Kuching sebagai model bandar pintar pertama di Sarawak yang mengutamakan kemudahan digital, kesejahteraan rakyat dan kelestarian alam sekitar.

Antara ciri utama sistem pintar ini termasuk aplikasi mudah alih Pay and Go berasaskan GPS, peranti mudah alih untuk kegunaan pegawai penguat kuasa, serta notis tempat letak kereta bercod QR bagi memudahkan pengguna.

Selain itu, kamera pengecaman plat kenderaan turut dipasang pada e-basikal dan kenderaan penguat kuasa bagi meningkatkan keberkesanan pemantauan dan keselamatan operasi.

Setakat ini, sistem tersebut meliputi sebanyak 7,080 petak parkir di kawasan digazetkan dan 2,500 petak di kawasan tidak digazetkan di bawah pentadbiran DBKU.