Belanjawan 2025 fokus pembangunan sektor tenaga, air

KUALA LUMPUR: Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) menyambut baik Belanjawan 2025 yang memfokuskan pembangunan sektor tenaga dan air.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, ini menjadikan jumlah peruntukan secara keseluruhan sebanyak RM4.95 bilion.

“Ia meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas Belanjawan 2025 bertema “Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahterakan Rakyat” dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen, hari ini.

Fadillah berkata, PETRA terus komited melaksanakan projek tebatan banjir dan setakat ini, kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bernilai RM540 juta.

Seterusnya ialah 12 projek RTB dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) pada 2024 dan berjalan mengikut jadual melibatkan RTB Sungai Damansara, Selangor; RTB Sungai Likas, Kota Kinabalu, Sabah, RTB Sungai Triang, Bera, Pahang, RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu.

“Dalam menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain, sebagai langkah segera, penyaluran RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai,” tambahnya.

Fadillah berkata, pengumuman lain berkaitan PETRA adalah kemudahan lebih RM300 juta di bawah Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga bagi menggalakkan pelaksanaan inisiatif Program Net Energy Metering (NEM) yang dilanjutkan kepada 30 Jun 2025 agar lebih banyak bumbung premis dimanfaatkan untuk pemasangan solar photovoltaic (PV) dan Pelaksanaan Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) diteruskan dengan pembiayaan RM1 bilion sehingga 2026.

“Beberapa projek National Energy Transition Roadmap (NETR) juga
memasuki fasa pelaksanaan iaitu Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau di Terengganu sehingga 1,000 megawatt; dan Program Large Scale Solar (LSS),” katanya.

Selain itu, katanya peruntukan RM70 juta yang disediakan bagi menggalakkan pembelian kelengkapan elektrik cekap tenaga dalam bentuk e-rebat bagi pengguna domestik dan sektor industri.

“Dengan pelaksanaan program ini, negara dapat menjimatkan 571 Gigawat jam setahun bersamaan dengan RM112 juta,” tambahnya.

Selain itu, pelaksanaan Kontrak Prestasi Tenaga untuk semua agensi Kerajaan sebagai salah satu inisiatif kecekapan tenaga di sektor awam.