Sarawak sokong penganjuran Malaysia Techlympics 2024

SIBU: Kerajaan Sarawak akan terus menyokong Kementerian Sains, Teknologi, dan Inovasi (MOSTI) menganjurkan Malaysia Techlympics 2024.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak, Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, pertandingan berasaskan Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) ini membantu peserta mempelajari dan menggunakan teknologi terkini.

Katanya, ini melalui projek inovasi langsung seperti robotik, dron, pengekodan dan banyak lagi.

“Kerajaan Sarawak melihat program ini sebagai platform terbaik untuk mempamer dan memperkenalkan teknologi dan inovasi baharu, di samping mencetuskan minat masyarakat setempat khususnya pelajar dan belia dalam bidang teknologi,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Malaysia Techlympics 2024 Peringkat Zon Sarawak di Stadium Tertutup Sibu, di sini, hari ini.

Roland menggesa guru berkaitan STI untuk terus menyokong Malaysia Techlympics melalui program jangkauan dan pertandingan dalam talian, yang akan berlangsung hingga pertengahan November depan.