Pelbagai produk tempatan di Lan Berambeh Anak Sarawak 2024

KUALA LUMPUR: Lan Berambeh Anak Sarawak (LBAS) 2024 membuka tirai dengan pelancaran pameran acara itu di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Fadillah Yusof melancarkan pameran Sarawak Dreams Pavillion dan Sarawak Products Pavillion.

Beliau berkata, LBAS 2024 siri Ke-15 itu amat dinanti-nantikan anak Sarawak yang berada di Semenanjung sama ada yang masih menuntut di institut pengajian tinggi (IPT), berkeluarga, bekerja atau berniaga.

“Tahun ini menunjukkan peningkatan terutamanya pameran-pameran dengan pempamer dari pelbagai sektor serta agensi kerajaan persekutuan dan negeri dan juga pemain industri,” katanya.

Fadillah berkata, program tersebut ditaja Kerajaan Sarawak yang merangkumi pelbagai aktiviti seperti ceremah kerjaya, temuduga, tawaran pekerjaan dan sebagainya.

Beliau berkata, sesi townhall bersama Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg adalah kemuncak program.

LBAS 2024 dihadiri kira-kira 6,200 tetamu terdiri daripada penuntut IPT dan mereka yang menetap di Semenanjung Malaysia.