KUALA LUMPUR: Belanjawan Sarawak 2025 akan merangkumi pemberian insentif kepada seramai 25,000 pelajar universiti dan kolej anak Sarawak di seluruh negara.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, pemberian wang saku ini untuk membolehkan pelajar terbabit membeli keperluan harian setiap bulan.
“Belanjawan ini dibentangkan pada 20 November depan, kamu (pelajar anak Sarawak) tunggu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Sarawak Agenda Townhall Bersama YAB Premier Sarawak Lan Berambeh Anak Sarawak Ke-15 (LBAS) 2024 di sini, hari ini.
Abang Johari bagaimanapun tidak memberi butiran lanjut pemberian wang saku terbabit.
Beliau sebaliknya memberitahu bantuan itu untuk anak Sarawak yang memiliki “K” pada kad pengenalan.
Beliau berkata, langkah ini diambil setelah pendapatan Sarawak meningkat dan ini sebagai cara memberi balik pendapatan kepada rakyat Sarawak.
Menurutnya, sebelum ini Kerajaan Sarawak memberi bantuan komputer riba percuma dan juga baucar buku kepada pelajar yang layak.
Di samping itu, Abang Johari memberitahu Sarawak kini sedang menumpukan menjadi pembekal tenaga elektrik utama bagi rantau ini.
Oleh itu, beliau mahu anak-anak Sarawak yang mahir ilmu berkaitan tenaga elektrik memanfatkan kemudahan tersebut.
“Kita berkehendakkan jurutera elektrik, pakar dalam Kecerdasan Buatan (AI) data elektrik dan pakar yang boleh menyambung kabel (elektrik).
“Saya melihat pelajar anak Sarawak boleh membekalkan pakar tenaga elektrik itu dan juga bagi pakar bagi industri pengeluaran hidrogen,” tambahnya.
LBAS 2024 dihadiri Timbalan Perdana Menteri Dato’ Sri Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian serta menteri- menteri kabinet negeri dan persekutuan termasuk ahli-ahli parlimen.
LBAS 2024 dikelolakan Sarawak Volunteers dan mendapat sokongan penuh dari Kerajaan Sarawak.
