KUCHING: Sarawak akan menghantar seramai 248 atlet bagi menyertai Sukan Olimpik Khas Malaysia Kali Keenam di Bintulu mulai 24 hingga 26 April depan.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata ini bagi memastikan lebih ramai atlet tempatan mendapat peluang menonjolkan bakat dan potensi masing-masing dalam temasya itu.
Katanya, temasya itu dijangka disertai seramai 778 peserta merangkumi atlet, jurulatih, pegawai serta petugas dari 11 negeri iaitu Sarawak, Sabah, Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor, Melaka, Pahang, Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Kuala Lumpur.
“Majlis perasmian dijadual berlangsung pada 25 April depan, manakala penutupan pula 26 April,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Sidang Media Mesyuarat Jawatankuasa Induk Special Olympics Malaysia (SOM) Games 2026 (Sukan Olimpik Khas Malaysia) di sini hari ini.
Fatimah berkata, pemilihan Bintulu berdasarkan kesiapsiagaan serta kelengkapan fasiliti sukan yang mampu menampung keseluruhan lapan acara dipertandingkan selain Kuching ketika ini sedang membuat persiapan bagi penganjuran temasya lain.
Beliau yang juga pengerusi temasya itu menegaskan bahawa falsafah utamanya bukan mengejar pingat semata-mata, sebaliknya memberi penekanan kepada penyertaan atlet berkeperluan khas.
