Semua struktur telekomunikasi wajib dapat kelulusan SMA sebelum dilaksana

KUCHING: Berdasarkan Ordinan Suruhanjaya Multimedia Sarawak 2017, semua struktur komunikasi wajib mendapat kelulusan Sarawak Multimedia Autority (SMA) sebelum pelaksanaan, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Sri Julaihi Narawi.

Beliau berkata, pematuhan yang betul dapat mengelakkan komplikasi operasi dan memastikan pembangunan infrastruktur yang lestari dan dipercayai.

Selain penguatkuasaan, SMA sedang melaksanakan langkah-langkah berpandangan jauh, termasuk pengenalan Yuran Infrastruktur Telekomunikasi (TIF) di bawah Seksyen 34(2)(g) Ordinan Suruhanjaya Multimedia Sarawak 2017, katanya pada majlis Penutupan Program Latihan Pengawalan, Pematuhan dan Penguatkuasaan SMA di Creative Heritage Innovation Center (CHIC) di sini.

Menurut Julaihi, peraturan Suruhanjaya Multimedia Sarawak (Yuran Infrastruktur Telekomunikasi) 2025 berkuatkuasa pada 1 Januari 2026 dan TIF menyokong pembangunan dan pengawalseliaan infrastruktur telekomunikasi yang lestari di Sarawak demi manfaat semua pihak berkepentingan.

Rangka kerja undang-undang ini memastikan perancangan yang betul, keselamatan awam, dan pembangunan teratur, tegas beliau sambil memberikan panduan jelas kepada Penyedia Kemudahan Rangkaian (NFP).

Latihan menyeluruh ini memastikan pegawai SMA bersedia untuk menegakkan pematuhan bersama UKPS dan memastikan persekitaran telekomunikasi yang teratur memerlukan kerjasama yang kukuh, katanya.

Berdasarkan data daripada Sistem Pengukuran Infrastruktur Komunikasi (CIMS) dan Sistem Permit Infrastruktur Komunikasi (CIPS), tambahnya, sejumlah 4,514 struktur didaftarkan sehingga Januari 2026.

Beliau berkata, usaha ini untuk menormalisasi semua struktur dan memastikan pematuhan masih diteruskan.