KUCHING: Geotrail bakal dibangun di tapak geo Taman Delta Geo Sarawak (SDGp) melibatkan empat kawasan di negeri ini.
Ia sejajar aspirasi untuk mendapatkan pengiktirafan Taman Geo Global Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, antara kawasan itu ialah Santubong, Padawan, Bau dan Bako.
“Sebanyak 67 Kawasan Terlindung Sepenuhnya dengan 47 Taman Negara, 15 Rizab Alam Semula Jadi serta lima Pusat Perlindungan Hidupan Liar. Daripada jumlah kawasan terlindung sepenuhnya, hanya 25 kawasan yang dibuka kepada pengunjung,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan kementeriannya di Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.
Sementara itu kata Abdul Karim, sejumlah 426,925 pelawat telah mengunjungi 25 Taman Negara dan Rizab Semula Jadi yang dibuka kepada pelawat dan dikunjungi seramai 319,931 pelawat domestik dan 106,994 pelawat asing sehingga Oktober 2023.
“Ini menunjukkan peningkatan 34 peratus jumlah pelawat mengunjungi Taman Negara untuk suku ketiga 2023,” katanya.
Pada masa sama, kata Abdul Karim, Sarawak menyasarkan kemasukan pelancong ke negeri ini meningkat kepada 4 juta pengunjung pada 2024 depan berdasarkan jumlah kedatangan pelancong semakin meningkat tahun ini.
