KUCHING: Kerajaan Sarawak telah meluluskan lapan lokasi untuk membangunkan taman agro di seluruh negeri.
Menteri Industri Makanan, Komoditi Dan Pembangunan Wilayah (M-FICORD), Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom berkata, pembangunan kemudahan pertanian di Sg. Baji Agropark yang direka dengan sistem pertanian campuran terdiri daripada rumah hijau kemudahan dan lot pertanian terbuka telah selesai.
Menurutnya, fasiliti pertanian bertujuan menghasilkan tanaman makanan bernilai tinggi dijangka beroperasi pada suku pertama 2024.
Manakala tujuh lagi iaitu Bebuling dan Lubok Tamang di Betong; Asajaya dan Gedong-Semelatong di Samarahan; Simanggang, Sri Aman; Dalat, Mukah dan Mulu, Miri masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan, katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
Mengenai Taman Agroteknologi Semenggok, beliau memberitahu pembangunan fizikal dijangka bermula pada suku ketiga 2024 dengan peruntukan sebanyak RM82 juta.
Bagi menghidupkan semula penanaman padi dalam skim ini, Dr Rundi berkata, kementeriannya telah mencadangkan agar infrastruktur ladang yang usang dipulih dan dinaik taraf.
“Di bawah Rancangan Malaysia Ke-12, sejumlah RM8.3 juta diperuntukkan untuk menaik taraf infrastruktur ladang di Skim Pengairan Tanjung Purun, Lundu dan membangunkan infrastruktur baharu bagi cadangan Skim Saliran Terkawal di Kampung Mujat, Serian.
“Kedua-dua projek itu dalam peringkat akhir perancangan dengan keluasan gabungan kira-kira 350 hektar.
“Projek-projek pemulihan lain yang sedang dijalankan adalah di Lubok Skim Punggor di Gedong dan Skim Saliran Terkawal Tanjung Sebekut di Bahagian Betong dengan peruntukan masing-masing RM30 juta dan RM5 juta,” katanya.
Menurut Dr Rundi, lebih 16,000 petani pekebun kecil telah dibantu oleh Jabatan Pertanian Sarawak sejak 2021 untuk program pembangunan tanaman dengan jumlah peruntukan RM60.06 juta di bawah pelbagai sumber pembiayaan daripada Sarawak dan Kerajaan Persekutuan.
Jelas beliau, pada 2023, seramai 479 petani membabitkan 538 hektar bagi penanaman baharu, membaik pulih dan menyelenggara ladang kelapa sedia ada membabitkan kos keseluruhan RM3.35 juta daripada pembiayaan Sarawak dan Persekutuan.
