KUCHING: Kerajaan Sarawak memperuntukkan sebanyak RM1.26 juta bagi pembelian 30 mesin hemodialisis untuk ditempatkan di 19 hospital dan klinik kesihatan kerajaan dari 2021 hingga 2023.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, penambahan mesin hemodialisis ini dijangka dapat memberi manfaat kepada 180 pesakit buah pinggang.
Katanya, mesin hemodialisis bagi kegunaan pesakit buah pinggang di Hospital Mukah dan Hospital Dalat juga ditambah.
Menurutnya, sebanyak empat mesin hemodialisis akan ditempatkan di dua hospital itu.
“Tiga mesin hemodialisis akan ditempatkan di Hospital Mukah dan sebuah lagi di Hospital Dalat,” katanya dalam ucapan penggulungan bagi kementerian beliau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Fatimah berkata, Kerajaan Sarawak telah menyediakan Bantuan Perubatan, Bantuan Pesakit Buah Pinggang (BPBP) dan Bantuan Alat Tiruan/Sokongan untuk membantumembiayai kos rawatan bagi meringankan bebanan kewangan pesakit serta keluarga.
“Sejak diperkenal sehingga Oktober 2023, sebanyak RM8.9 juta telah dibelanjakan untuk membantu 1,117 pesakit,” tambahnya.
