KUCHING: Kerajaan Sarawak melalui SeDidik, membina dua tadika pada tahun ini bagi memberi akses kepada pendidikan awal kanak-kanak di pedalaman.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Dato Sri Hajah Fatimah Abdullah berkata, tadika itu ialah tadika Rumah Seliau, Selangau dan tadika Long Tebanyi, Baram yang akan mula beroperasi pada tahun depan.
Menurutnya, pada tahun ini, terdapat 3,023 Institusi Pendidikan Awal Kanak-kanak (IPAKK) berdaftar di Sarawak.
“Melalui kerjasama strategik di bawah Majlis Pembangunan Awal Kanak-kanak Sarawak (MPAKS), Sarawak telah mencapai 98.71 peratus kanak-kanak Tahun 1 bagi sesi 2023/2024 yang menyertai pendidikan prasekolah/tadika berbanding 88.81 peratus di peringkat kebangsaan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak hari ini.
