KUCHING: Jabatan Kesihatan Sarawak (JKS) menambah bilangan klinik pasca gigitan haiwan daripada 31 fasiliti sebelum Jun 2023 kepada 107.
Klinik itu dilengkapi dengan vaksin antirabies.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, langkah itu sebagai sebahagian daripada usaha mengurangkan kes rabies manusia.
Katanya, klinik itu termasuk 78 kemudahan Kementerian Kesihatan Persekutuan dan 29 kemudahan swasta.
“JKS meluluskan 41 lagi klinik kesihatan sebagai klinik post bite dan menjangkakan perkhidmatan itu dijalankan pada penghujung tahun ini. Ini setelah latihan diberikan kepada kakitangan dan stok vaksin dibekalkan,” katanya.
Beliau yang juga Timbalan Premier Sarawak berkata demikian semasa ucapan penggulungan bagi kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19.
Berkongsi status terkini wabak rabies, katanya JKS menerima sejumlah 94,307 laporan gigitan haiwan dari 1 Julai 2017 hingga 18 November 2023.
“Tahun ini sahaja, sebanyak 14,394 gigitan haiwan dilaporkan dengan purata 350 kes seminggu atau 50 kes sehari. Jumlah kes rabies manusia adalah membimbangkan.
“Terdapat 72 kes rabies manusia, dengan 17 kes dilaporkan pada 2023 sehingga 18 November sahaja, berbanding 14 kes pada 2022 dan 10 kes pada 2021.
“Sehingga kini, hanya terdapat tujuh yang terselamat sejak wabak itu bermula,” ujarnya lagi.
Mengulas perkara lain, Dr Sim berkata pembinaan Hospital Petra Jaya dijadual siap pada November 2024 dengan kemajuan projek setakat 25 Oktober lalu adalah 64.67%.
Manakala, kemajuan fizikal pembinaan blok tambahan di Hospital Miri ialah 82.19 peratus setakat 25 Oktober lalu. Ia dijadual siap pada April 2024.
Bagi Hospital Lawas baharu katanya, kemajuan fizikal adalah 46.53 peratus dan dijadual siap pada Disember 2024.
