SPAOH: Ibu bapa di luar bandar diingatkan supaya mendaftarkan anak-anak ke sekolah berasrama penuh.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, terdapat banyak kelebihan jika menempatkan anak-anak ke sekolah berasrama penuh.
Katanya, selain menikmati suasana pembelajaran terbaik dan berdisiplin, sekolah asrama dapat mengelakkan pelajar dari gangguan dan kebebasan apabila tinggal di rumah panjang.
“Mereka boleh menjadi terlalu sibuk dengan telefon bimbit sehingga mengabaikan pelajaran mereka,” katanya semasa merasmikan Program Jangkauan pendidikan Luar Bestari Malaysian Cecair Gas Asli (MLNG) di SK Paku Sentral hari ini.
Beliau juga melahirkan kebimbangan setelah mendapati kira-kira 20 peratus ibu bapa di kawasan DUN Bukit Saban tidak mendaftarkan anak-anak di sekolah berasrama.
Tegasnya, adalah penting bagi pelajar fokus dengan pelajaran untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang.
Mengenai program MLNG, beliau menyifatkan ia sebagai sumbangan bermakna oleh sektor swasta kepada pembangunan pendidikan luar bandar.
Di bawah program itu, MLNG telah membelanjakan RM800,000 untuk menaik taraf dewan sekolah yang kini berhawa dingin sepenuhnya serta penyediaan papan pintar kepada setiap kelas antara lain.
Uggah turut mencadangkan MLNG agar mempertimbangkan membantu sekolah lain di Nanga Tiga yang merupakan sekolah mubaligh.
Beliau berkata Unit Hal Ehwal Agama-Aaama Lain (Unifor) telah membantunya untuk menaik taraf kemudahannya.
Pada majlis itu, beliau mengumumkan pemberian RM10,000 kepada PIBG sekolah berkenaan dan RM8,000 kepada sekolah untuk pembelian kerusi dan sistem siaraya.
Hadir sama, Ahli Parlimen Betong Datuk Dr Richard Rapu dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat MLNG Mohamad Syazwan Abdullah.
