Parti PBB tulang belakang GPS bantu kukuhkan Kerajaan Persekutuan

LAWAS: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kini menjadi ‘pasak’ kepada pengukuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat persekutuan hari ini.

Timbalan Premier Sarawak yang juga Yang di-Pertua Parti PBB, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ‘pasak’ merujuk kepada kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan Parti PBB sebagai tulang belakang membantu mengukuhkan Kerajaan Perpaduan setelah keadaan politik negara dahulu terumbang ambing.

“Kita bersama dengan Kerajaan Persekutuan ada Timbalan Perdana Menteri, menteri-menteri dan itu komitmen kita untuk memastikan negara ini stabil,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Parti PBB Cawangan Bukit Sari, di sini, hari ini.

Awang Tengah berkata, kestabilan ini penting untuk menarik pelaburan dan menumpukan kepada usaha membangunkan negara ini.

Sementara itu, di majlis terbabit beliau telah diraikan dengan sokongan padu seramai 750 perwakilan dan pemerhati daripada 43 ranting Parti PBB Cawangan Bukit Sari untuk terus menerajui cawangan berkenaan bagi sesi 2024 hingga 2027.

Hadir sama Ahli Parlimen Lawas, Dato Henry Sum Agong, Setiausaha Politik kepada Premier merangkap Timbalan Ketua Parti PBB Cawangan Bukit Sari Awangku Jinal Abedin Dato Pengiran Haji Jawa dan Setiausaha Eksekutif Parti PBB, Datuk Awang Bujang Awang Antek.