KUCHING: Rakyat Sarawak diharap menjadikan Tahun Kuda 2026 sebagai tahun untuk berusaha lebih gigih, berfikir secara berani dan melangkah dengan yakin.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata ini kerana tahun kuda adalah simbol kekuatan, ketahanan dan semangat untuk terus mara ke hadapan serta melambangkan tenaga, kecekalan serta keberanian dalam mengejar kemajuan.
“Semoga sifat-sifat ini menjadi inspirasi kepada kita semua untuk berusaha dengan lebih gigih, berfikir secara berani dan melangkah dengan yakin ke arah pencapaian yang lebih cemerlang demi diri kita, keluarga serta negeri Sarawak,” katanya dalam perutusan Tahun Baharu Cina 2026.
Dalam melangkah ke tahun kuda juga, beliau mengajak rakyat Sarawak memperbaharui semangat serta komitmen untuk membina Sarawak yang lebih kukuh, inklusif dan makmur.
“Kerajaan Negeri kekal komited terhadap pembangunan mampan, peluang ekonomi dan kesejahteraan sosial untuk semua,” tambahnya.
“Bersama-sama melalui kerjasama dan visi yang dikongsi, kita akan mampu mengatasi cabaran dan mencipta masa depan lebih cerah untuk generasi akan datang,” katanya.
