BINTULU: Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) memainkan peranan penting di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN).
Timbalan Menteri Pembangunan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Mohammad Razi Sitam berkata ini merangkumi penyediaan Pusat Pemindahan Sementara (PPS), pengurusan bantuan makanan dan keperluan asas, serta sokongan psikososial kepada mangsa bencana.
“Fokus kami adalah memastikan bantuan sampai kepada mereka (mangsa bencana) yang benar-benar memerlukan dengan cara yang pantas, telus dan berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan penutupan Program Latihan dan Simulasi Pengurusan Bencana PPS Peringkat Negeri Sarawak 2025 di Balai Raya Kampung Jepak, di sini, hari ini.
Hadir sama, ADUN Jepak Iskandar Turkee.
Pada majlis tersebut, Mohammad Razi turut menyampaikan sumbangan keperluan asas dan bantuan kebakaran kepada enam ketua isi rumah (KIR) yang terlibat dalam kebakaran di Kampung Sebuan Besar Jepak pada 1 Julai lalu.
Beliau juga menyampaikan sumbangan bantuan kebakaran kepada 12 KIR atau mangsa kebakaran di Rumah Charlie Bo, Sungai Sawa, Sera, Jalan Ulu Sebauh dan menyerahkan Kenyalang Gold Card kepada lima penerima serta penyerahan kad OKU kepada tiga penerima.
