Sarawak perlu transformasikan pertanian kaedah moden, pintar

KUCHING: Graduan pertanian adalah aset negeri yang berharga untuk memastikan industri pertanian terus menjadi nadi kemakmuran dan keterjaminan makanan Sarawak, kata Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah Sarawak.

Dato Sri Dr. Stephen Rundi berkata, di bawah rangka PCDS 2030, kerajaan telah mengiktiraf Pendidikan Pertanian dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai salah satu tunjang pembangunan modal insan.

Katanya, ia penting untuk meningkatkan penyertaan belia yang berkemahiran tinggi di dalam sektor pertanian.

“Sudah tiba masanya amalan pertanian berkonsepkan pertanian sara diri perlu ditukar menjadi pertanian bercorak komersial dan pertanian pintar,” katanya pada Majlis Konvokesyen Institut Pertanian Sarawak Ke-20 di sini hari ini.

Menurut beliau, Sarawak perlu mentransformasikan pertanian ke arah baharu dan moden untuk merealisasikan impian menjadikan Sarawak sebagai Pengeksport Bersih Makanan menjelang 2030.

Stephen Rundi berharap agar silibus pendidikan di institut pertanian sentiasa disemak dan disesuaikan dengan perubahan teknologi industri pertanian pada masa kini.

”Sebagai contoh, dengan menekankan kepada penggunaan teknologi baharu termasuk IoT, Smart Farming, automasi, teknologi penternakan pintar, serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam semua bidang berkaitan seperti tanaman, ternakan dan akuakultur seiring dengan teknologi pertanian semasa,” tegas beliau.

Seramai 116 graduan Institut Pertanian Sarawak (IPS) terdiri daripada 92 graduan Program Sijil Pertanian Malaysia dan 24 graduan Sijil Kemahiran Malaysia menerima sijil pada majlis tersebut.