KUCHING: Jawatankuasa Kejiranan Mesra (KJM) di N.7 Samariang sentiasa memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan serta pembangunan komuniti melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan di peringkat akar umbi.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-undang, MA63 dan Hubungan Negeri–Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, KJM berfungsi sebagai penghubung antara rakyat dan kerajaan.
“Platform ini juga berfungsi sebagai saluran penyelarasan pelbagai program yang memberi manfaat langsung kepada penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa merasmikan Pesta Samariang Sungai Bedil Kali Keenam di Kampung Sungai Bedil Besar, di sini, hari ini yang menghimpunkan penyertaan masyarakat.
Menurutnya, penganjuran pesta tersebut membuktikan keberkesanan KJM dalam menyatukan masyarakat melalui pelbagai aktiviti yang turut memperkukuh nilai perpaduan dan kerohanian.
Dalam masa sama, beliau menambah, pembangunan komuniti perlu seimbang antara aspek fizikal, sosial dan sahsiah, selain menyokong usaha mewakafkan tanah terbiar untuk kegunaan masyarakat.
Kerajaan Sarawak, katanya, sedang meneliti penggubalan undang-undang berkaitan wakaf bagi memastikan pelaksanaannya lebih teratur dan memberi manfaat kepada komuniti.
