Pekebun kecil tunjang utama industri sawit negara

SARIKEI: Kira-kira 300 pekebun kecil kelapa sawit dari Sarikei, Mador dan kawasan sekitarnya menyertai Program Aram Besawit 2026 yang melabuhkan tirainya di Dewan Suarah Sarikei di sini, hari ini.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pekebun kecil merupakan tunjang utama industri sawit negara, khususnya di Sarawak yang merekodkan 54,984 pekebun kecil dengan keluasan tanaman melebihi 285,000 hektar, tertinggi di Malaysia.

Menurut beliau, komuniti Dayak membentuk kelompok terbesar pekebun kecil di negeri ini dan memainkan peranan penting dalam merancakkan pertumbuhan sektor sawit serta menyumbang kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

Katanya, penganjuran Program Aram Besawit sebanyak 11 kali sejak 2017 membuktikan kesungguhan Persatuan Penanam Kelapa Sawit Dayak Sarawak (DOPPA) dalam memperkasa golongan pekebun kecil melalui perkongsian ilmu, latihan dan pembangunan kapasiti.

Beliau turut menekankan kepentingan meningkatkan pengetahuan berkaitan amalan agronomi terbaik, pelesenan, penggredan buah tandan segar dan pematuhan kepada piawaian antarabangsa bagi memastikan industri sawit negara terus berdaya saing di pasaran global.

Huang berkata, pematuhan terhadap Peraturan Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) menjadi antara aspek penting yang perlu diberi perhatian oleh pekebun kecil bagi menjamin akses pasaran eksport pada masa hadapan.

Beliau turut menggesa lebih ramai pekebun kecil menyertai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO), sambil menegaskan kementerian akan terus memperkukuh sektor sawit menerusi latihan, pemindahan teknologi dan pelbagai inisiatif kemampanan demi meningkatkan produktiviti serta kesejahteraan pekebun kecil.