Kemudahan asas Kampung Bukit Kota dipertingkatkan secara berperingkat

LIMBANG: Kemudahan asas di Kampung Bukit Kota di sini akan dipertingkatkan secara berperingkat termasuk kerja menaik taraf prasarana dan kemudahan awam demi keselesaan penduduk.

Timbalan Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail berkata, di samping itu, pemantauan secara berterusan projek pembangunan akan dilakukan bagi memastikan ia memenuhi keperluan rakyat dan memberi manfaat jangka panjang.

“Langkah itu bagi menepati keperluan rakyat, memberi mpak positif kepada penduduk,” katanya pada Program Badudun Ramadan di Kampung Bukit Kota, baru-baru ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota berkata, setiap keperluan rakyat perlu diberi perhatian dan projek yang dilaksanakan memberi keselesaan.

Turut hadir Penghulu Zahedi Asol, Ketua Kampung Bukit Kota merangkap Pengerusi Surau Setia Bakti Yusuf Tuah dan Setiausaha Eksekutif Pusat Khidmat Masyarakat DUN N79 Bukit Kota Roslan Abdul Rahman.

Pada majlis tersebut, beliau turut meluluskan sumbangan karpet baharu kepada Surau Setia Bakti bagi meningkatkan keselesaan jemaah menunaikan ibadah khususnya sepanjang Ramadan.

Beliau berharap penduduk terus mengimarahkan surau dengan solat berjemaah dan tadarus al-Quran bagi menyemarakkan suasana Ramadan.

Dalam pada itu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Kota turut menyampaikan sumbangan kepada 10 asnaf sebagai tanda keprihatinan terhadap golongan memerlukan.