Kerajaan akan perkenal RUU Perubahan Iklim

KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang merangka Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim negara yang dijangka diperkenal dalam masa terdekat.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh dasar-dasar berkaitan perubahan iklim dan pasaran karbon di Malaysia.

Katanya, langkah ini juga selaras dengan inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan negeri ini.

Ujar beliau, kementeriannya sedang menjalankan siri libat urus dengan kerajaan-kerajaan negeri yang mana Sarawak katanya telah mendahului dalam merancang dasar karbon.

“Kita turun padang bagi memastikan rang undang-undang yang sedang dibangun diperkenalkan secepat mungkin, selaras dengan langkah yang diambil Sarawak. Ia juga memenuhi keperluan antarabangsa di bawah Persidangan Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCC),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan kunjungan hormat terhada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia di sini.

Nik Nazmi memberitahu, perbincangan bersama Premier Sarawak mengenai perkara itu sangat positif dengan kerajaan komited untuk bekerjasama rapat bagi mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050.

Hadir sama Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif dan Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Datuk Dr. Hazland Abg Hipni.