Kolam tadahan dibina tangani banjir kilat Batu Kawa

KUCHING: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian komited dalam menangani isu banjir kilat di Batu Kawa, di sini melalui pelbagai saluran.

Dr. Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa baru-baru ini meninjau projek menaik taraf sistem saliran dengan mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (DID).

Pada majlis itu, beliau mengumumkan pembinaan kolam tadahan banjir ketiga di Batu Kawa terutama di kawasan Desa Wira untuk menangani banjir kilat.

Beliau berkata, projek terbabit merangkumi pembinaan kolam tadahan dan menaik taraf sistem salirannya yang berharga RM20 juta dijangka siap dalam masa 20 bulan.

Dr. Sim menegaskan, DID sudahpun memulakan kerja membina kolam tadahan melalui tender terbuka yang diiklankan pada Julai tahun ini dan disusuli lawatan ke tapak pembinaan.

Proses tendernya akan selesai pada Ogos tahun ini, katanya.

Buat masa ini, tiga projek menaik taraf sistem perparitan sedang dilaksana di Desa Wira, termasuk menaik taraf parit di Lorong 17B1/B2, Lorong 17B3/B4, dan Lorong 17A6, yang masing-masingnya berharga lebih RM3.54 juta, RM3.27 juta dan RM4.37 juta.

Projek itu membabitkan pembinaan parit sepanjang 3,843.6 meter dan dijangka siap pada Februari 2025.

Dr. Sim turut mengumumkan Kerajaan Sarawak meluluskan pembinaan kolam tadahan pertama di tapak kosong di hadapan Bandar Baru MJC berharga RM19.88 juta.

Projek itu bermula 24 Mei lalu dan dijangka siap pada 23 Mei 2026, katanya dan menambah, kolam tadahan kedua akan dibina di kawasan komersial Pine Square berharga RM22.50 juta dijadual siap pada 23 November 2026.