KUCHING: Kerajaan Sarawak terus memperkukuh kerjasama strategik dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan keselamatan sempadan negeri kekal terpelihara serta menyokong pembangunan kawasan sempadan secara bersepadu.
Komitmen itu dizahirkan menerusi kunjungan hormat Panglima 1 Divisyen Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Mohd Sobirin Mohd Yusof kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di pejabat beliau di Kompleks Satria Pertiwi, di sini hari ini.
Kunjungan bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim antara Markas 1 Divisyen Infantri Malaysia dan Kerajaan Sarawak, selain membincangkan pelbagai perkara berkaitan aspek keselamatan serta pembangunan negeri.
Antara perkara yang diberi perhatian ialah kemas kini status keselamatan semasa di Sarawak dengan tumpuan khusus terhadap kawalan di kawasan sempadan bagi memastikan negeri ini terus berada dalam keadaan selamat, aman dan terkawal.
Kedua-dua pihak turut bertukar pandangan mengenai pendekatan yang lebih berkesan dan bersepadu dalam memperkukuh pengawasan keselamatan di kawasan sempadan sejajar dengan keperluan keselamatan semasa.
Selain itu, pertemuan berkenaan turut menyentuh kerjasama strategik antara 1 Divisyen Infantri Malaysia dan Kerajaan Sarawak dalam pembangunan infrastruktur di kawasan sempadan sebagai usaha memperkukuh keupayaan operasi keselamatan di samping meningkatkan kesejahteraan masyarakat setempat.
Dalam kunjungan tersebut, Mohd Sobirin turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Sarawak serta agensi-agensi berkaitan atas sokongan dan kerjasama berterusan yang diberikan kepada 1 Divisyen Infantri Malaysia dalam melaksanakan tanggungjawab mempertahankan keselamatan negeri.
Beliau menyifatkan kerjasama erat antara kerajaan negeri dan pasukan keselamatan sebagai faktor penting dalam memastikan kestabilan, keamanan serta pembangunan kawasan sempadan dapat terus diperkasakan.
Turut hadir Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Khairuddin Zakaria serta Panglima 31 Briged, Brigedier Jeneral Azman Md Zain. – UKAS
