LUNDU: Kerajaan sedang mempertimbangkan cadangan pembinaan semula Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lundu, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Santubong berkata, langkah itu bagi memperkukuhkan kemudahan keselamatan dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan kepada masyarakat.
“Cadangan tersebut kini dalam perhatian kerajaan namun masih di peringkat awal dan memerlukan penelitian lanjut,” katanya kepada media selepas mengadakan lawatan kerja rasmi ke IPD Lundu, hari ini.
Katanya, keperluan pembinaan baharu itu wajar memandangkan kawasan Lundu lebih luas berbanding Sematan serta memerlukan fasiliti yang lebih lengkap.
“Cadangan ini dikemukakan oleh pihak IPD Lundu melalui Ketua Polis Daerah.
“Dua lokasi dikenal pasti, iaitu berhadapan serta di tepi Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEX) Lundu,” katanya.
Bagaimanapun, jelasnya, cadangan tersebut masih memerlukan kelulusan kerajaan negeri kerana melibatkan aspek pemilikan tanah selain perlu melalui beberapa prosedur termasuk penyediaan kertas cadangan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dinilai dari segi keperluan serta implikasi kos.
Dalam majlis sama, Nancy turut menyampaikan sumbangan peralatan melalui program Rangkaian Kasih Nancy Shukri (NS) yang merangkumi dua unit khemah kanopi, 50 kerusi, tiga meja bulat dan tiga meja panjang untuk kegunaan IPD Lundu.
Menurut rekod, sebanyak RM836,101 peruntukan disalurkan sepanjang tempoh 2023 hingga 2025 bagi menyokong keperluan logistik pihak polis serta komuniti termasuk penyediaan pelbagai peralatan.
Turut hadir Ketua Polis Daerah Lundu, Superintenden Sudirman Kram, Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Nordina Haron serta Timbalan Pengarah Persekutuan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Mohd Ali Taib.
