Rakan media alami komplikasi penyakit, Bomba Petra Jaya bantu hantar jurugambar ke hospital

KUCHING: Anggota bomba dari Balai Petra Jaya tampil membantu membawa seorang rakan media menggunakan ambulan ke hospital bagi mendapatkan rawatan segera.

Razali Nordin, 54, dilaporkan mengalami pelbagai komplikasi penyakit termasuk masalah injap jantung, batu karang dalam hempedu, gangguan buah pinggang serta diabetes, sehingga memerlukan bantuan kecemasan untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Situasi itu bukan sahaja menyentuh hati keluarga, malah rakan-rakan media yang hadir turut menyaksikan sendiri detik getir tersebut.

Ucapan penghargaan turut dizahirkan kepada pihak bomba selain penghargaan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Fadillah Yusof, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Prof Dr Sim serta Timbalan Menteri Komunikasi Awam Sarawak, Datuk Abdullah Saidol, yang turut mengambil berat keadaan beliau.

Rakan-rakan media juga tidak ketinggalan menghulurkan bantuan dan Naib Presiden Persatuan Wartawan Bahagian Kuching (KDJA), Zulazhar Sheblee berikutan itu menasihatkan semua warga media untuk menjaga kesihatan mereka.

“Jika ada orang awam memerlukan, kita media akan membantu mereka. Tapi bila media sakit dan memerlukan bantuan… tiada orang akan ambil tahu,” katanya.