KUCHING: Kadar pekerjaan graduan Kolej Teknologi Sarawak (TCS) ketika ini mencapai 97 peratus.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, menjadi matlamat kolej berkenaan untuk meningkatkan kadar itu sehingga 100 peratus.
“Dengan bukti usaha dan kejayaan dalam membangunkan graduan yang mahir dan berbakat, matlamat kolej untuk mencapai 100 peratus pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis Konvokesyen Ke-18 TCS di Dewan Majma Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah, di sini.
Teks ucapan beliau dibaca Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee.
Premier Sarawak berkata, kerajaan negeri akan merayu Majlis Amanah Rakyat (MARA) untuk menyenaraikan semula kolej terbabit sebagai institusi pengajian tinggi (IPT) yang diluluskan untuk pelajarnya menerima pinjaman pengajian dan elaun hidup bulanan.
Katanya, ini khusus untuk pelajar diploma dan ijazah, khasnya golongan miskin tegar dan pelajar B40.
