KUCHING: Laluan penerbangan baharu dari Kuala Lumpur ke Sibu yang ditawar syarikat penerbangan Batik Air Malaysia dijangka beroperasi pada 8 Februari depan.
Menteri Pengangkutan Dato Sri Lee Kim Shin berkata, penerbangan tersebut bakal beroperasi dua kali sehari, dengan penerbangan pertama berlepas dari Sibu pada jam 10.25 pagi dan penerbangan kedua pada jam 9.40 malam.
“Perkara itu dimaklumkan Ketua Pegawai Eksekutif BatikAir Kapten Mushafiz Mustafa semasa lawatan kerja dilakukan kementerian ke Ibu Pejabat BatikAir Malaysia di KL pada 28 Disember lalu.
“Pada masa ini, terdapat dua syarikat penerbangan beroperasi dari KL ke Sibu iaitu Airasia dengan 20 penerbangan setiap minggu dan Malaysia Airlines dengan 10 penerbangan setiap minggu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee menambah, objektif lawatan kerja tersebut adalah menjalinkan hubungan rapat dan hubungan yang kukuh dengan pasukan pengurusan BatikAir Malaysia dan untuk menyokong kehadiran dan kemampanan mereka di Sarawak.
Sehubungan itu kata Lee, beliau turut meminta agar BatikAir membuka laluan penerbangan KL-Miri-KL berikutan sebelum ini, Malindo Air turut melakukan laluan penerbangan berkenaan.
“Dengan peningkatan aktiviti perniagaan minyak dan gas di Miri berikutan Shell memindahkan ibu pejabatnya dari KL ke Miri, akan terdapat lebih banyak perjalanan perniagaan. Tambahan pula, Petros juga telah memulakan aktiviti penggerudian tanah di Miri,” katanya.
Beliau juga menjemput Ketua Pegawai Eksekutif dan pasukan BatikAir ke Sarawak untuk membincangkan lebih lanjut mengenai kerjasama lain dalam membangunkan industri penerbangan di Sarawak merangkumi sambungan udara antarabangsa.
