Kontraktor Bumiputera diingat tingkatkan kemampuan diri

SPAOH: Kontraktor Bumiputera Kelas C hingga E diingatkan menggunakan program kerajaan untuk meningkatkan kemampuan.

Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, untuk itu, mereka boleh melakukan pendaftaran di pejabat Residen masing-masing.

Katanya, selepas pendaftaran, Pejabat Residen akan memajukan permohonan mereka kepada jawatankuasa khas di Pejabat Kewangan Negeri.

“Ia akan diakses jika anda layak menyertai program ini. Jika anda layak, latihan berkaitan akan diberikan.

“Dan jika anda boleh mendapatkan atau diberi sebarang kontrak, bantuan kewangan dan peralatan akan diberikan.

“Kontrak itu tidak perlu dipindah kepada pihak lain. Anda harus melaksanakan kontrak itu sendiri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan geran daripada beliau dan Ahli Parlimen Betong Dr. Richard Rapu berjumlah RM414,800 kepada sebuah masjid, sembilan surau dan jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di sini, semalam.

Uggah berkata, program ini merupakan langkah kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk melahirkan kontraktor Bumiputera tulen.

Menurut beliau, program ini diumumkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada November 2023.

Sementara itu, Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) memberitahu, beliau telah menghubungi Jawatankuasa Bencana Bahagian Miri bagi memantau kejadian kebakaran belukar atau kebakaran terbuka.

Tegasnya, ia berikutan kawasan zon utara kini berdepan cuaca kering dan kemarau.