Elak terjerat janji palsu sindiket penipuan dalam talian

KUCHING: Rakyat dinasihat agar tidak mudah terpengaruh dengan ganjaran lumayan yang dijanji oleh sindiket penipuan dalam talian.

Menurut Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, penipuan dalam talian diibarat dengan legenda Iban mengenai ‘Taju Remaong’ atau umpan harimau mistik.

Katanya, legenda itu digunakan untuk menyuarakan kebimbangannya terhadap peningkatan bilangan mangsa penipuan dalam talian di negeri ini.

“Umpannya ialah menjanjikan habuan wang ringgit tetapi akhirnya mangsa kehilangan semuanya,” tambahnya.

Bercerita lanjut, menurut legenda, “Remaong” atau harimau mistik, sentiasa mencari mangsa dengan memasang umpan dalam bentuk buahan atau makanan lain di dalam hutan.

“Sesiapa yang mengambil atau memakan umpan itu akan terjerat. Harimau terbabit akan membahamnya. Begitu juga dengan taktik penipuan dalam talian,” katanya.

Katanya, panggilan penipuan dalam talian adalah sama. Umpan itu adalah janji ganjaran wang yang besar, tetapi akhirnya, mangsa akan kehilangan segala-galanya, katanya ketika membangkitkan isu tersebut semasa menerima kunjungan hormat Pesuruhjaya Polis negeri Datuk Mancha Ata di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Sementara itu, Uggah menzahirkan tahniah kepada pihak PDRM atas komitmen, kesetiaan dan pengorbanan mereka dalam memastikan Sarawak selamat untuk semua.