Penyerahan Sumbangsih Raya Rabu ini

KUCHING: Sebanyak 12,000 kontena Sumbangsih Raya akan diagihkan kepada 11 agensi penerima di Sarawak sempena Aidilfitri tahun ini.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, sebanyak empat jenis
makanan dan minuman disediakan dalam kontena terbabit iaitu serunding daging, kek buah, kacang botak dan kopi serta teh untuk dinikmati petugas agensi terbabit semasa Aidilfitri nanti.

“Selain itu, kita juga menyediakan kad ucapan raya sebagai tanda ingatan tulus ikhlas Kerajaan Sarawak kepada anggota-anggota yang bertugas,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Pembungkusan Sumbangsih Raya 2024 (SR24) di Dewan Utama Wisma Wanita di Petra Jaya, di sini, hari ini.

Fatimah berkata, Majlis Simbolik Penyerahan Sumbangsih Raya 2024 yang merupakan kemuncak Program Sumbangsih Raya 2024 akan disempurnakan Premier Sarawak di Wisma Bapa Malaysia, Petra Jaya, 20 Mac ini.

Katanya 11 agensi penerima terbabit ialah Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APNM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Jabatan Penjara Malaysia (JPM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS).